ZIARAH KASIH YPS-USM: MENYEMAI HARAPAN, MENYANTUNI MAHASISWA

ZIARAH KASIH YPS-USM: MENYEMAI HARAPAN, MENYANTUNI MAHASISWA

PASIR MAS & KUALA KRAI, 31 Ogos 2026 – Keprihatinan terhadap kebajikan mahasiswa terus diperkasa menerusi Program Ziarah Kasih Yayasan Perkasa Siswa (YPS) bersama Universiti Sains Malaysia (USM) yang menziarahi dua pelajar baharu USM di Pasir Mas dan Kuala Krai.

Kunjungan ke kediaman Rashid Ikbar Khan bin Khan Zada di Kampung Jiah, Pasir Mas serta Amiratul Amirah binti Azam di Kampung Laloh, Kuala Krai merupakan sebahagian daripada usaha berterusan dalam mengenal pasti dan menyantuni mahasiswa yang memerlukan sokongan ketika melangkah ke alam pengajian tinggi.

Kedua-dua pelajar yang merupakan pelajar cemerlang STPM dan Calon Biasiswa Sulung USM turut menerima Bantuan Awal Pendidikan Tinggi (BAPT) daripada YPS serta Kit Pendaftaran Pelajar Baharu daripada USM sebagai sokongan awal bagi membantu memenuhi keperluan sepanjang tempoh pendaftaran dan permulaan pengajian.

Inisiatif ini memperlihatkan kesungguhan Yayasan Perkasa Siswa dan institusi pendidikan tinggi dalam memperkukuh jaringan kebajikan mahasiswa, agar faktor sosioekonomi tidak menjadi penghalang kepada anak-anak Malaysia untuk mengejar cita-cita dan mencapai potensi mereka.

Sesi ziarah turut dihadiri oleh Encik Zulkifli Che Hussin, Pengurus Kolaborasi & Strategik Yayasan Perkasa Siswa, Encik Khairul Ithma Mahdi, Ketua Penolong Pendaftar BHEPA Kampus Kesihatan USM, serta Encik Ahmad Nazrul Alif Yahya, Penolong Pendaftar, Pejabat Pengarah Kampus Kesihatan USM.

Kerana setiap langkah menuju menara gading wajar disambut dengan sokongan dan harapan.

#YPSPrihatin
#MalaysiaMADANI

DEMI SEBUAH IMPIAN, YPS HADIR MENYANTUNI BAKAL MAHASISWI UNIMAP

DEMI SEBUAH IMPIAN, YPS HADIR MENYANTUNI BAKAL MAHASISWI UNIMAP

NIBONG TEBAL, PENANG – Yayasan Perkasa Siswa (YPS) meneruskan inisiatif Ziarah Kasih dengan menyantuni bakal mahasiswi Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Arifah binti Azhari, yang bakal melanjutkan pengajian dalam Program Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dengan Kepujian, Fakulti Kejuruteraan & Teknologi Awam.

Arifah merupakan anak kedua daripada sembilan orang adik-beradik. Kedua-dua ibu bapanya bekerja sebagai pekerja pembersihan di Universiti Sains Malaysia (USM) dan merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) pekak dan bisu, manakala lima orang adik-beradiknya masih bersekolah di peringkat rendah dan menengah.

Sesi ziarah ini diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Perkasa Siswa, YBrs. Encik Hirman bin Awang, bersama Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP, Prof. Dr. Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar UniMAP, Prof. Madya Dr Mohamad Syahmie Mohamad Rasidi.

Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan YPS dan UniMAP dalam memastikan kebajikan serta kesejahteraan bakal mahasiswa sentiasa diberi perhatian, khususnya dalam membantu mereka melangkah ke alam pengajian tinggi dengan lebih yakin dan bermakna.

#YPSPrihatin
#MalaysiaMADANI

SANTUNAN KASIH, HARAPAN BAHARU BUAT BAKAL SISWA UTeM

SANTUNAN KASIH, HARAPAN BAHARU BUAT BAKAL SISWA UTeM

AYER KEROH, MELAKA – Yayasan Perkasa Siswa (YPS) meneruskan komitmen dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan mahasiswa terus diberi perhatian menerusi Sesi Ziarah Kasih bersama bakal pelajar yang memerlukan.

Sesi tersebut turut dihadiri Yang Berhormat Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, YBhg. Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin bin Hassim, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, YBhg. Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman, serta wakil Universiti Teknologi MARA (UTeM).

Menerusi sesi ini, Bantuan Awal Pendidikan Tinggi berjumlah RM1,500 disampaikan bagi membantu meringankan beban kewangan keluarga, khususnya dalam membuat persiapan awal sebelum melanjutkan pengajian di UTeM.

Inisiatif ini mencerminkan keprihatinan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan YPS dalam memastikan faktor sosioekonomi tidak menjadi penghalang kepada anak-anak Malaysia untuk melanjutkan pendidikan tinggi serta merealisasikan cita-cita mereka.

#YPSPrihatin
#MalaysiaMADANI

ZIARAH KASIH YAYASAN PERKASA SISWA SANTUNI TIGA BAKAL MAHASISWA UPSI

ZIARAH KASIH YAYASAN PERKASA SISWA SANTUNI TIGA BAKAL MAHASISWA UPSI

IPOH – Yayasan Perkasa Siswa (YPS) meneruskan komitmen dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan mahasiswa sentiasa diberi perhatian menerusi pelaksanaan Sesi Ziarah Kasih bagi menyantuni tiga bakal mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang berdepan kekangan kewangan.

Sesi berkenaan melibatkan Lovely Sabana Augustine, bakal pelajar Fakulti Sains Kemanusiaan; Siti Nurdianis Nordin, bakal pelajar Fakulti Pengurusan dan Ekonomi; serta Muhamad Ilias Danish, bakal pelajar Fakulti Bahasa dan Komunikasi.

Ketiga-tiga bakal mahasiswa berkenaan menerima sumbangan RM1,000 daripada YPS bagi membantu meringankan beban kewangan, khususnya dalam membuat persediaan awal pengajian serta keperluan pendaftaran bagi sesi akademik 2026/2027.

Lovely Sabana, anak bongsu daripada empat beradik, menetap bersama ibunya di Tumpat, Kelantan. Ibunya bekerja sebagai tukang cuci di sebuah sekolah dengan pendapatan sekitar RM800 sebulan selain terlibat sebagai anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), manakala bapanya yang merupakan bekas anggota tentera telah meninggal dunia pada 2017.

Siti Nurdianis pula dibesarkan dalam keluarga berpendapatan tidak menentu dengan ibunya bergantung kepada pendapatan harian bagi menampung keperluan keluarga. Sementara itu, Muhamad Ilias Danish kehilangan tempat bergantung selepas kematian bapanya dan kini turut membantu ibunya dalam menyara keluarga.

Sumbangan ini diharap dapat meringankan beban ketiga-tiga bakal mahasiswa berkenaan, di samping menyuntik semangat untuk mereka terus melangkah ke alam pengajian tinggi dengan penuh keyakinan.

YPS akan terus memperkukuh peranan sebagai “tentera barisan hadapan” dalam menjaga kebajikan mahasiswa melalui pendekatan turun padang dan intervensi secara langsung, khususnya kepada pelajar yang berdepan cabaran kewangan dan memerlukan sokongan.

Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan YPS dalam memastikan tiada mahasiswa tercicir daripada peluang mendapatkan pendidikan tinggi hanya disebabkan kekangan kewangan, selaras dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi untuk memperkukuh kesejahteraan dan akses pendidikan tinggi yang inklusif.

#YPSPrihatin
#MalaysiaMADANI

ZIARAH KASIH: YPS SANTUNI MAHASISWA USM

ZIARAH KASIH: YPS SANTUNI MAHASISWA USM

PULAU PINANG, 25 Ogos 2026 – Program Ziarah Kasih Yayasan Perkasa Siswa bersama Universiti Sains Malaysia (USM) menyantuni dua pelajar baharu USM yang memerlukan sokongan dan perhatian kebajikan dalam mengharungi permulaan pengajian.

Kunjungan ini turut menjadi manifestasi keprihatinan USM dan Yayasan Perkasa Siswa dalam memastikan kebajikan serta kesejahteraan mahasiswa sentiasa diberi perhatian, khususnya dalam menghadapi cabaran sosioekonomi dan peribadi.

Kedua-dua pelajar berkenaan turut menerima Bantuan Awal Pendidikan Tinggi daripada Yayasan Perkasa Siswa bagi membantu meringankan keperluan mereka di peringkat awal pengajian.

Komitmen ini mencerminkan usaha berterusan Yayasan Perkasa Siswa bersama institusi pendidikan tinggi dalam memastikan setiap mahasiswa berpeluang melanjutkan pengajian dan membina masa depan yang lebih baik tanpa dibatasi latar belakang kehidupan.

#YPSPrihatin
#MalaysiaMADANI

PROGRAM ZIARAH KASIH @ NEGERI SEMBILAN: YAYASAN PERKASA SISWA TERUS PRIHATIN MEMPERKASA KEBAJIKAN PELAJAR

PROGRAM ZIARAH KASIH @ NEGERI SEMBILAN: YAYASAN PERKASA SISWA TERUS PRIHATIN MEMPERKASA KEBAJIKAN PELAJAR

26 Julai 2026 | Kuala Pilah & Port Dickson, Negeri Sembilan

Yayasan Perkasa Siswa (YPS) meneruskan komitmennya dalam memperkasa agenda kebajikan dan akses pendidikan melalui pelaksanaan Program Ziarah Kasih @ Negeri Sembilan yang telah diadakan di daerah Kuala Pilah dan Port Dickson, Negeri Sembilan pada 26 Julai 2026.

Program ini menyaksikan penyerahan bantuan oleh En. Hirman Awang, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Perkasa Siswa (YPS) kepada dua orang penerima yang memerlukan sebagai usaha meringankan beban kewangan serta memberi sokongan kepada pelajar dalam meneruskan pengajian di institusi pendidikan tinggi.

Dalam program tersebut, Bantuan Awal Pendidikan Tinggi (BAPT) telah disampaikan kepada Nadhrah Iman Thasneem binti Abdul Qayyuum, bakal pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM), bagi membantu persediaan awal sebelum memulakan pengajian.

Turut disampaikan ialah Bantuan Care4U kepada Anis Batrisyia binti Rosli, pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM), sebagai tanda keprihatinan YPS terhadap kebajikan pelajar yang memerlukan sokongan dalam meneruskan pengajian.

Program Ziarah Kasih merupakan antara inisiatif YPS dalam mendekati pelajar dan keluarga secara langsung bagi memastikan bantuan yang disalurkan memberi impak bermakna kepada penerima. Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan YPS untuk memastikan tiada pelajar tercicir daripada menikmati peluang pendidikan tinggi disebabkan kekangan kewangan.

YPS akan terus memperkukuh usaha memperluas akses kepada bantuan pendidikan dan kebajikan selaras dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi dalam melahirkan graduan yang cemerlang, berdaya saing dan sejahtera.

#YPSPrihatin
#MalaysiaMADANIv

SESI ZIARAH PRIHATIN CEO YAYASAN PERKASA SISWA KE ATAS PELAJAR UiTM YANG SEDANG MENJALANI RAWATAN

SESI ZIARAH PRIHATIN CEO YAYASAN PERKASA SISWA KE ATAS PELAJAR UiTM YANG SEDANG MENJALANI RAWATAN

Hospital Ampang, 24 Julai 2026 – Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Perkasa Siswa (YPS), En. Hirman Awang telah mengadakan sesi ziarah prihatin ke atas seorang pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam yang sedang menerima rawatan di Hospital Ampang.

Turut hadir dalam sesi ziarah tersebut ialah Pengarah Bahagian Perancangan Strategik dan Sekretariat Majlis (BPSSM), Mohd Rizal bin Nordin; Timbalan Dekan Fakulti Alam Bina UiTM, Prof. TPr. Dr. Yusfida Ayu Abdullah; Penolong Pendaftar Kanan Hal Ehwal Pelajar UiTM, En. Hairul Redzuan; serta Pengurus YPS, En. Asyraf Radzwan.

Pelajar yang diziarahi, Muhammad Nurhafiy bin Mohd Sazali, 22, merupakan pelajar Semester 3, Sarjana Muda Sains (Kepujian) Pengurusan Pembinaan, Fakulti Alam Bina, UiTM Shah Alam yang kini sedang menjalani rawatan akibat leukemia jenis B-ALL (kanser darah). Walaupun berdepan ujian kesihatan yang berat, beliau dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan terus menerima rawatan serta pemantauan rapi daripada pihak hospital.

Sesi ziarah ini merupakan tanda keprihatinan Yayasan Perkasa Siswa terhadap kebajikan mahasiswa yang berdepan cabaran kesihatan, di samping memberi sokongan moral kepada pelajar dan keluarga agar terus tabah serta cekal menghadapi dugaan. YPS turut mendoakan agar Muhammad Nurhafiy diberikan kesembuhan yang berpanjangan dan dipermudahkan segala urusan rawatan serta dapat kembali menyambung pengajian pada masa hadapan.

#YPSPrihatin
#MalaysiaMADANI

MYSISWA MINDSCAPE@USIM

MYSISWA MINDSCAPE@USIM

20 Julai 2026 | Universiti Sains Islam Malaysia, Nilai

Usaha memperkasa potensi, membina daya tahan mental, serta menjaga kebajikan mahasiswa terus dipergiat menerusi penganjuran program MySiswa MINDSCAPE@USIM yang berlangsung dengan jayanya di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, semalam.

Program berimpak tinggi ini merupakan anjuran Yayasan Perkasa Siswa (YPS) yang dijayakan secara strategik menerusi MySiswaPlace, sebagai wadah memperkukuh agenda pembangunan holistik mahasiswa di menara gading.

Bagi menyuntik inspirasi, program kali ini menampilkan ikon personaliti terkenal, saudara Muhammad Iddin Ramli, yang hadir berkongsi cetusan pengalaman, motivasi, serta strategi mendepani cabaran akademik dan kehidupan bersama para penuntut.

Selain pengisian motivasi, agenda kebajikan pelajar turut dizahirkan secara nyata. Wakil YPS, Encik Asyraf bin Radzwan, Pengurus Pemerkasaan Mahasiswa YPS, hadir menyempurnakan penyerahan sumbangan Bantuan Care4U kepada 15 orang mahasiswa dan mahasiswi USIM yang memerlukan, sekali gus membuktikan keprihatinan berterusan Kementerian Pendidikan Tinggi menerusi Yayasan Perkasa Siswa terhadap kelangsungan hidup para pelajar IPT.

Syabas diucapkan kepada seluruh warga kerja dan para mahasiswa USIM yang memberikan komitmen jitu sepanjang program berlangsung. Semoga perkongsian yang disampaikan mampu diterjemahkan kepada tindakan positif demi kecemerlangan akademik dan pembentukan sahsiah diri yang cemerlang.

#YPSPrihatin #MySiswaPlace #BBM2026 #MalaysiaMADANI

ZIARAH KASIH ZON SELATAN: MENYANTUNI BAKAL MAHASISWA, MERINGANKAN BEBAN

ZIARAH KASIH ZON SELATAN: MENYANTUNI BAKAL MAHASISWA, MERINGANKAN BEBAN

26 Jun 2026 | Simpang Renggam, Johor

Prihatin terhadap cabaran yang dihadapi oleh bakal mahasiswa daripada keluarga yang memerlukan, Yayasan Perkasa Siswa (YPS) telah melaksanakan Program Ziarah Kasih Zon Selatan sebagai inisiatif menyantuni serta memberikan sokongan kepada mereka dalam membuat persediaan melanjutkan pengajian ke institusi pendidikan tinggi.

Dalam sesi ziarah tersebut, Bantuan Awal Pendidikan Tinggi (BAPT) dan Bantuan Care4U telah disampaikan oleh YBrs. Encik Hirman bin Awang, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Perkasa Siswa, bagi membantu meringankan beban kewangan yang dihadapi oleh bakal mahasiswa dan mahasiswa sedia ada serta memberi suntikan semangat buat mereka.

Program ini mencerminkan komitmen berterusan Yayasan Perkasa Siswa dalam memastikan tiada bakal mahasiswa tercicir daripada memperoleh akses kepada pendidikan tinggi hanya kerana kekangan kewangan. Melalui pendekatan turun padang dan menyantuni secara langsung, YPS terus memperkukuh usaha memperkasa kebajikan mahasiswa serta menyokong agenda pembangunan modal insan negara.

Semoga bantuan yang disalurkan dapat menjadi pemangkin kepada kejayaan para penerima dalam melakar kecemerlangan akademik dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan masyarakat serta negara.

#YPSPrihatin                                                                                                                                                                                                                                                    #MalaysiaMADANI

PROGRAM ZIARAH KASIH BANTU BAKAL MAHASISWA HADAPI CABARAN KEWANGAN

Universiti Teknologi MARA (UiTM) dengan kerjasama Yayasan Perkasa Siswa telah melaksanakan Program Ziarah Kasih bagi menyantuni dan menyalurkan bantuan kepada bakal mahasiswa yang menghadapi kekangan kewangan menjelang sesi pendaftaran September 2026.

Program yang diketuai oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM, Profesor Dr Mohd Sazili Shahibi bersama Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Perkasa Siswa, Encik Hirman bin Awang itu melibatkan lawatan ke beberapa kediaman bakal pelajar di sekitar Lembah Klang bagi meninjau keperluan serta cabaran yang dihadapi keluarga mereka.

Inisiatif ini bertujuan memastikan tiada pelajar tercicir daripada melanjutkan pengajian ke institusi pendidikan tinggi akibat faktor kewangan dan sosioekonomi. Selain bantuan kewangan, program turut memberi sokongan moral serta keyakinan kepada pelajar dan keluarga dalam membuat persediaan sebelum melapor diri ke kampus.

UiTM komited memperkukuh agenda kebajikan mahasiswa melalui pendekatan turun padang yang membolehkan bantuan disalurkan secara lebih bersasar dan berimpak. Kerjasama strategik bersama Yayasan Perkasa Siswa juga akan diteruskan bagi memperluaskan akses pendidikan tinggi kepada golongan yang memerlukan.

Program Ziarah Kasih dijangka diperluaskan ke seluruh kampus UiTM di negara ini sebagai usaha berterusan dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan mahasiswa sentiasa menjadi keutamaan.

#YPSPrihatin
#MalaysiaMADANI

Menu Utama

Rakan Strategik

Hubungi Kami

IBU PEJABAT

Alamat:
Yayasan Perkasa Siswa
Kementerian Pendidikan Tinggi
Aras 5, No. 2 Menara 2
Jalan P5/6, Presint 5
62200 W.P Putrajaya

Talian Tetap:
+603-8870 6803/6876/6857

Mengenai Kami

Yayasan Perkasa Siswa dahulunya dikenali sebagai Yayasan Kebajikan Siswa Keluarga Malaysia

Layari

Layari laman sesawang kami untuk mengetahui aktiviti terkini Yayasan Perkasa Siswa

Copyright © 2026 Yayasan Perkasa Siswa. All Rights Reserved

No. Pendaftaran Yayasan Perkasa Siswa (PPAB-47/2021)