Assalamualaikum WBT dan Salam Malaysia Madani,
Dengan penuh takzim, saya ingin mengucapkan selamat datang ke Portal Rasmi Yayasan Perkasa Siswa.
Yayasan Perkasa Siswa merupakan satu badan rasmi di peringkat nasional yang berperanan mengurus dan menyelaras hal ehwal pemerkasaan, kebajikan dan kesejahteraan mahasiswa secara bersepadu.
Yayasan sentiasa komited dalam mengurus dan menyelaras inisiatif pemerkasaan serta aktiviti berunsur kebajikan dan kesejahteraan mahasiswa oleh pihak kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan, orang perseorangan dan sebagainya melibatkan semua Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) secara teratur, sistematik, telus dan menyeluruh. Dalam erti kata lain, bantuan yang diberikan adalah secara holistik dan tidak mengenal bangsa juga agama.
Penghargaan dan terima kasih juga diucapkan kepada pihak institusi pendidikan tinggi awam dan swasta yang tidak pernah jemu memberikan sokongan kepada Yayasan Perkasa Siswa. Selaku peneraju sektor pendidikan tinggi negara, melaksanakan agenda pembangunan mahasiswa sudah pasti menjadi tanggungjwab kita. Memetik ucapan Menteri Pendidikan Tinggi yang juga merupakan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Perkasa Siswa, Yang Berhormat Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir sempena Landasan Hala Tuju Kementerian Pendidikan Tinggi 2024 pada 12 Januari 2024, ”kewujudan ekosistem pendidikan tinggi yang ‘segar’ dan kondusif adalah sangat diperlukan”. Maka, hubungan yang erat antara pihak Yayasan dan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) amatlah kami harapkan. Sama bergabung, sama berganding, segalanya diharung, sama setanding.
Adalah besar harapan saya, supaya portal ini akan menjadi wadah yang membekalkan informasi tepat dan tuntas, memberi manfaat, sekaligus menjadi inspirasi dalam mendukung kecemerlangan, kemenjadian dan pertumbuhan bangsa negara yang Madani.
Sekian.
Hirman bin Awang
Ketua Pegawai Eksekutif
Yayasan Perkasa Siswa