SESI DISKUSI YAYASAN PERKASA SISWA DAN BAHAGIAN HAL EHWAL PELAJAR (BHEP), JPT BERSAMA WAKIL MALAYSIA NATURE SOCIETY (MNS)

Satu perbincangan antara Yayasan Perkasa Siswa bersama wakil Malaysia Nature Society (MNS) telah diadakan pada 29 Februari 2024 bagi meneliti peluang kolaborasi pelaksanaan program kesukarelawan dan cinta alam sekitar.

Yayasan Perkasa Siswa optimis untuk merealisasikan program seperti ini demi melahirkan mahasiswa yang cakna dengan isu-isu alam semulajadi dan terlibat secara langsung dalam memelihara kelestarian alam.

SESI DISKUSI YAYASAN PERKASA SISWA DAN BAHAGIAN HAL EHWAL PELAJAR (BHEP), JPT BERSAMA WAKIL SYARIKAT PAYMENT NETWORK MALAYSIA (PAYNET)

Perbincangan Yayasan Perkasa Siswa dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP), JPT bersama Payment Network Malaysia (PayNet) pada 23 Februari 2024 bagi meneroka peluang kerjasama untuk merancakkan pelaksanaan program Pendigitalan Kampus (PayNet Digital Campus 3.0).

Sesi dihadiri oleh En.Hirman Awang ,Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pelajar, JPT merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Perkasa Siswa dan wakil delegasi Paynet yang diketuai oleh Pn. Zurianty bin Sudin.

SESI DISKUSI YAYASAN PERKASA SISWA DAN BAHAGIAN HAL EHWAL PELAJAR (BHEP), JPT BERSAMA WAKIL SYARIKAT PAYMENT NETWORK MALAYSIA (PAYNET)

Perbincangan Yayasan Perkasa Siswa dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP), JPT bersama Payment Network Malaysia (PayNet) pada 23 Februari 2024 bagi meneroka peluang kerjasama untuk merancakkan pelaksanaan program Pendigitalan Kampus (PayNet Digital Campus 3.0).

Sesi dihadiri oleh En.Hirman Awang ,Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pelajar, JPT merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Perkasa Siswa dan wakil delegasi Paynet yang diketuai oleh Pn. Zurianty bin Sudin.

BENGKEL PERANCANGAN STRATEGIK DAN HALA TUJU YAYASAN PERKASA SISWA BAGI TAHUN 2024

Demi komitmen yang jitu untuk memperkasakan mahasiswa insitut pendidikan tinggi di Malaysia, satu Bengkel Perancangan Strategik dan Hala Tuju Yayasan Perkasa Siswa bagi tahun 2024 telah pun dilaksanakan pada 16 hingga 18 Februari 2024 bertempat di Hotel Lexis Port Dickson, Negeri Sembilan.

Antara agenda utama yang dibincangkan adalah komponen pemerkasaan yang sangat penting untuk melahirkan mahasiswa yang cemerlang dan holistik, perancangan program bagi tahun 2024 dan pemurnian tadbir urus Yayasan.

Turut hadir menyempurnakan bengkel adalah Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Perkasa Siswa, En. Hirman bin Awang dan ketua-ketua seksyen Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi.

Semoga segala intipati yang telah dibincangkan bagi menyelaras ‘Way-Forward Yayasan Perkasa Siswa’ menjadikan Yayasan sebuah organisasi yang berkembang dengan lebih maju, mampu menjalankan peranan yang efisien, sistematik dan telus, sekaligus menjadi entiti yang melengkapkan ekosistem Kementerian Pendidikan Tinggi di Malaysia.

1 PENDERMA BOLEH SELAMATKAN 8 NYAWA  – KOLABORASI YAYASAN PERKASA SISWA DAN PERSATUAN TRANSPLAN MALAYSIA

Tahukah anda, kadar pengikrar penderma organ di Malaysia hanya 0.7% dari jumlah populasi penduduk dan dari undian secara maya yang telah dijalankan, 53% memberi maklum balas bahawa mereka tidak mempunyai info mengenai isu pendermaan organ?

Mengambil kira statistik ini, Persatuan Transplan Malaysia dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Tinggi mengambil inisiatif untuk memberikan lebih pendedahan tentang kepentingan pendermaan organ dan menyeru orang ramai khususnya golongan mahasiswa supaya turut serta menjadi pengikrar penderma organ.

Oleh yang demikian, program VARSITY P.U.L.S.E (Pledge for the Urgent Life-Saving Efforts) telah dilancarkan pada 14 Februari 2024 di Hospital Al-Sultan Abdullah (HASA), UiTM Puncak Alam oleh YBhg. Datuk Dr. Nor Fariza binti Ngah, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal), Kementerian Kesihatan Malaysia mewakili Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia dan turut disertai oleh Encik Kaliyapan A/L Rajakumaran (Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Hal Ehwal Pelajar menggarap Pengurus Yayasan Perkasa Siswa), Prof. Madya Dr. Ahmad Izuanuddin Ismail (Timbalan Pengarah (Klinikal) HASA), Dr. Haniza Omar (Presiden Persatuan Transplan Malaysia) dan Prof. Madya Dr. Hazlyna Baharuddin (Timbalan Dekan (Akademik) Fakulti Perubatan UiTM).

Kami di Yayasan Perkasa Siswa menyokong penuh program VARSITY P.U.L.S.E ini demi memastikan mahasiswa di Malaysia cakna dan seterusnya mendaftarkan diri sebagai pengikrar penderma organ.

Tiada siapa menyangka matahari yang cerah dari pagi sehingga tengah hari bertukar ke hujan lebat di waktu petang. Yang lebih tidak disangka, hujan yang turun turut mengakibatkan banjir kilat di kawasan parkir asrama pelajar HB2, Universiti Multimedia (MMU), Kampus Cyberjaya.

Kejadian yang berlaku sekitar jam 3 hingga 5 petang pada 6 November 2023 yang lepas mengejutkan para pelajar kerana air naik dengan pantas lalu menenggelamkan hampir kesemua kenderaan milik pelajar yang diletakkan di ruang letak kereta kawasan penginapan tersebut.

Berkongsi detik-detik bencana, pelajar menceritakan rata-rata mereka tiada di asrama kerana sedang berada di dalam kelas ataupun menjalani aktiviti di Fakulti. Oleh yang demikian, mereka akur dan redha dengan dugaan musibah yang menyebabkan kerosakan kepada kenderaan masing-masing. Setinggi penghargaan terima kasih turut diucapkan oleh para pelajar di atas tindakan pantas pihak universiti yang turut sama membantu pada hari kejadian.

Mengambil kira kerugian dan perbelanjaan yang harus dikorbankan untuk membaik pulih kenderaan masing-masing, pihak Yayasan Perkasa Siswa mengambil inisiatif menyalurkan sumbangan Bantuan Khas Bencana kepada 28 orang pelajar Universiti Multimedia yang terlibat pada Majlis Penyampaian Bantuan Bencana Yayasan Perkasa Siswa dan Universiti Multimedia yang diadakan pada 1 Februari 2024. Majlis turut dihadiri oleh Ketua Pengarah/Presiden Universiti Multimedia, YBhg. Prof. Dato’ Dr Mazliham Mohd Su’ud, Pengarah Jabatan Gayahidup dan Pengalaman Pelajar (STyLE), Pengurus Yayasan Perkasa Siswa serta beberapa pegawai pengurusan MMU dan juga Yayasan.

Semoga bantuan ini sedikit sebanyak dapat membantu dan meringankan beban para pelajar dan seterusnya dapat meneruskan urusan pengajian masing-masing dengan lancar.

PENGERUSI LEMBAGA PEMEGANG AMANAH YAYASAN PERKASA SISWA CAKNA KEBAJIKAN PELAJAR

Atas dasar keprihatinan dan cakna dengan kebajikan mahasiswa, Yang Berhormat Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi, merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Perkasa Siswa telah meluangkan masa menyantuni dan menyampaikan sumbangan bantuan kewangan one-off kepada 16 orang mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang berkeperluan pada 8 Januari 2024 semasa Lawatan Kerja Rasmi Menteri Pendidikan Tinggi Ke UMS.

Turut hadir sama adalah YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi dan YBrs. Prof. Dr. Azlinda Azman, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi merangkap Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Perkasa Siswa.

SESI ZIARAH BANTUAN KEBAJIKAN KEPADA PELAJAR UMS – KRISTINA BINTI ABDULLAH DAN SAUDARA MUHAMMAD SYAMIL BIN ZULKARNAIN
HILANG ANGGOTA TIDAK BERMAKNA HILANGNYA SEMANGAT

Begitulah yang diungkapkan oleh dua orang siswa Universiti Sains Malaysia (USM) ketika ditemui dalam sesi ziarah dan serahan sumbangan oleh wakil Yayasan Perkasa Siswa di kampus USM pada 7 Disember 2023.

Pelajar yang dimaksudkan adalah saudari Kristina binti Abdullah dan saudara Muhammad Syamil bin Zulkarnain. Kedua-dua pelajar tersebut telah dirempuh oleh sebuah kereta yang hilang kawalan ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat berhampiran pintu masuk USM. Kemalangan yang berlaku pada 27 November 2023 itu turut melibatkan beberapa kenderaan lain yang berada berhampiran.

Akibat dari kemalangan tersebut, Kristina telah menerima beberapa jahitan di bahagian perut dan kepala kerana pendarahan yang serius setelah tercampak ke tiang lampu sewaktu kemalangan. Lebih mendukacitakan, Kristina turut perlu menjalani kehidupan tanpa limpa selepas ini kerana organ tersebut terpaksa dibuang akibat kecederaan dalaman teruk susulan kemalangan yang dialami.

Manakala, Muhammad Syamil pula patah kedua-dua belah kaki akibat impak dari kemalangan tersebut. Bukan itu sahaja, lebih menyedihkan lagi apabila ibu jari kanan Syamil juga tidak dapat diselamatkan dan terpaksa dipotong.

Di sebalik kecederaan parah yang dialami, ia langsung tidak mematahkan semangat mereka berdua untuk meneruskan pengajian setelah pulih nanti. Menganggap ini sebagai ujian yang perlu ditempuh untuk menjadi insan yang lebih kuat, seharusnya menjadi inspirasi buat semua mahasiswa lain juga agar sentiasa cekal dalam mendepani dugaan yang mendatang.

Turut hadir sama semasa sesi ziarah ini adalah saudara Nazmi Hakimi mewakili Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USM bersama rakan-rakan barisan kepimpinan pelajar.

Buat saudari Kristina dan saudara Muhammad Syamil, seluruh Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Perkasa Siswa dan warga Yayasan mendoakan agar dikurniakan kesembuhan serta diberikan semangat yang kental bagi menyambung semula pengajian.

SESI ZIARAH DAN SUMBANGAN KHAIRAT KEMATIAN – ALLAHYARHAM ADLY ZARKASYI BIN ALZAFRY

“Harapnya ini semua hanya mimpi” ….itulah yang mampu diluahkan oleh ibu kepada kepada Allahyarham Adly Zarkasyi bin Alzafry, pelajar semester 2 jurusan Diploma Teknologi Maklumat dari Universiti Kuala Lumpur (UniKL) kampus MIIT yang jelas masih trauma serta diselubungi pilu dan hiba.

Allahyarham dilaporkan meninggal dunia akibat terjatuh dari tingkat 34 kondominium yang disewa bersama rakan sekuliah di Kuala Lumpur. Menurut bapa Allahyarham, Encik Alzafry bin Abu Bakar, mereka sekeluarga baru sahaja tiba di Perlis sewaktu dihubungi pihak berkuasa bagi memaklumkan insiden yang menimpa anaknya. Sejurus menerima pemakluman tersebut, walau dengan hati yang bergolak antara percaya atau tidak dengan berita mengejutkan yang baharu diterima tersebut, mereka sekeluarga bergegas kembali semula ke Kuala Lumpur untuk melihat keadaan Allahyarham.

Sesungguhnya kehilangan Allahyarham yang juga merupakan anak sulung adalah ujian yang sangat berat bagi seluruh ahli keluarga ini. Melihat rakan-rakan Allahyarham yang tidak berganjak dari pusara juga membuktikan Allahyarham seorang yang sangat baik dan disenangi di kalangan teman.

Pihak Yayasan Perkasa Siswa yang berkesempatan turut hadir semasa pengebumian mewakili seluruh Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan menzahirkan salam takziah kepada keluarga Allahyarham. Al Fatihah.

Menu Utama

Rakan Strategik

Hubungi Kami

IBU PEJABAT

Alamat:
Yayasan Perkasa Siswa
Kementerian Pendidikan Tinggi
Aras 5, No. 2 Menara 2
Jalan P5/6, Presint 5
Putrajaya

Talian Tetap:
+603-8870 6803/6876/6857

Layari

Layari laman sesawang kami untuk mengetahui aktiviti terkini Yayasan Perkasa Siswa

Copyright © 2024 Yayasan Perkasa Siswa. All Rights Reserved