CARE4OKU: YAYASAN PERKASA SISWA SANTUNI PELAJAR OKU UNIVERSITI TENAGA NASIONAL
BANGI, SELANGOR – Yayasan Perkasa Siswa (YPS) meneruskan komitmennya terhadap kebajikan mahasiswa menerusi penyaluran sumbangan kepada 12 orang pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) melalui program Care4OKU. Inisiatif ini bertujuan membantu meringankan beban pelajar serta memberikan sokongan bagi memastikan kebajikan mereka sepanjang tempoh pengajian sentiasa terpelihara.
Penyerahan sumbangan telah disampaikan oleh YBhg. Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman bin Hassan, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), selepas beliau menyampaikan khutbah Jumaat di Masjid UNITEN.
Pelaksanaan program Care4OKU merupakan manifestasi keprihatinan YPS dalam memastikan mahasiswa yang memerlukan bantuan mendapat perhatian sewajarnya, khususnya pelajar OKU yang mempunyai keperluan tersendiri dalam menjalani kehidupan dan menempuh pengajian di institusi pendidikan tinggi.
Selain itu, inisiatif ini turut menzahirkan kepentingan kerjasama strategik antara agensi dan institusi pendidikan tinggi dalam memperkukuh usaha menjaga kebajikan mahasiswa. Usaha berterusan seperti ini diharap dapat menyumbang kepada pembentukan persekitaran pembelajaran yang lebih inklusif, kondusif dan mesra OKU, sekali gus memberi peluang kepada setiap pelajar untuk mengembangkan potensi diri serta mencapai kejayaan dalam bidang akademik.
#YPSPrihatin
#MalaysiaMADANI