“Sesungguhnya ini ujian Allah buat keluarga kami”. Begitulah ungkapan bapa kepada Saudara Izzat Aiman bin Abdul Rahman, pelajar Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) Minyak dan Gas, sewaktu menerima kunjungan wakil Yayasan Perkasa Siswa di Unit Rawatan Rapi, Hospital Putrajaya petang tadi.
.
Mengimbas kembali kejadian kemalangan pada 19 April yang lepas, Izzat yang dalam perjalanan ke rumah ibu bapanya menaiki motosikal telah terbabas setelah berselisih dengan sebuah lori. Akibat kemalangan, Izzat mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan dirawat di ICU sehingga hari ini.
Ibu kepada Saudara Izzat juga menceritakan bahawa beliau anak bongsu yang paling rapat dengannya dan tidak pernah gagal untuk pulang ke Masjid Tanah, Melaka menjenguk ibu tercinta yang kurang sihat sekiranya tiada sebarang program di universiti.
.
Seluruh Ahli Lembaga Pemegang Amanah dan warga Yayasan Perkasa Siswa mendoakan semoga Saudara Izzat dikurniakan syifa’ dan kembali sihat seperti sedia kala. InsyaAllah.