PERGI YANG TIDAK KEMBALI
Acapkali ayat itu diluahkan oleh ibu dan bapa Allahyarham Mohamad Faisal Haqimie bin Napizul (pelajar Fakulti Informatik dan Komputeran), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang telah kembali ke rahmatullah pada 1 April 2024 bersamaan 22 Ramadan 1445H.
Allahyarham telah menemui ajal akibat kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan pulang dari berbuka puasa.
“Arwah biasanya akan membeli tiket bas dua hala setiap kali pulang ke kampung. Tetapi kali ini hanya sehala dan bila ditanya, arwah mengatakan, tidak pasti bila akan pulang ke kampus semula. Rupa-rupanya, itu adalah kepulangannya yang terakhir.” Perkongsian daripada ibu Allahyarham.
Berkat bantuan Bahagian Hal Ehwal Pelajar UnisZA, pensyarah dan juga rakan-rakan Fakulti, segala urusan perjalanan terakhir Allahyarham dari Terengganu dan juga pengebumian Allahyarham berjalan dengan lancar sehingga ke akhirnya.
Ahli Lembaga Pemegang Amanah serta Warga Yayasan Perkasa Siswa turut sama menzahirkan ucapan takziah dan menyerahkan sumbangan khairat kematian kepada waris Allahyarham.
Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.