SESI ZIARAH PRIHATIN CEO YAYASAN PERKASA SISWA KE ATAS PELAJAR UiTM YANG SEDANG MENJALANI RAWATAN
Hospital Ampang, 24 Julai 2026 – Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Perkasa Siswa (YPS), En. Hirman Awang telah mengadakan sesi ziarah prihatin ke atas seorang pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam yang sedang menerima rawatan di Hospital Ampang.
Turut hadir dalam sesi ziarah tersebut ialah Pengarah Bahagian Perancangan Strategik dan Sekretariat Majlis (BPSSM), Mohd Rizal bin Nordin; Timbalan Dekan Fakulti Alam Bina UiTM, Prof. TPr. Dr. Yusfida Ayu Abdullah; Penolong Pendaftar Kanan Hal Ehwal Pelajar UiTM, En. Hairul Redzuan; serta Pengurus YPS, En. Asyraf Radzwan.
Pelajar yang diziarahi, Muhammad Nurhafiy bin Mohd Sazali, 22, merupakan pelajar Semester 3, Sarjana Muda Sains (Kepujian) Pengurusan Pembinaan, Fakulti Alam Bina, UiTM Shah Alam yang kini sedang menjalani rawatan akibat leukemia jenis B-ALL (kanser darah). Walaupun berdepan ujian kesihatan yang berat, beliau dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan terus menerima rawatan serta pemantauan rapi daripada pihak hospital.
Sesi ziarah ini merupakan tanda keprihatinan Yayasan Perkasa Siswa terhadap kebajikan mahasiswa yang berdepan cabaran kesihatan, di samping memberi sokongan moral kepada pelajar dan keluarga agar terus tabah serta cekal menghadapi dugaan. YPS turut mendoakan agar Muhammad Nurhafiy diberikan kesembuhan yang berpanjangan dan dipermudahkan segala urusan rawatan serta dapat kembali menyambung pengajian pada masa hadapan.
#YPSPrihatin
#MalaysiaMADANI