PROGRAM ZIARAH KASIH @ NEGERI SEMBILAN: YAYASAN PERKASA SISWA TERUS PRIHATIN MEMPERKASA KEBAJIKAN PELAJAR

26 Julai 2026 | Kuala Pilah & Port Dickson, Negeri Sembilan

Yayasan Perkasa Siswa (YPS) meneruskan komitmennya dalam memperkasa agenda kebajikan dan akses pendidikan melalui pelaksanaan Program Ziarah Kasih @ Negeri Sembilan yang telah diadakan di daerah Kuala Pilah dan Port Dickson, Negeri Sembilan pada 26 Julai 2026.

Program ini menyaksikan penyerahan bantuan oleh En. Hirman Awang, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Perkasa Siswa (YPS) kepada dua orang penerima yang memerlukan sebagai usaha meringankan beban kewangan serta memberi sokongan kepada pelajar dalam meneruskan pengajian di institusi pendidikan tinggi.

Dalam program tersebut, Bantuan Awal Pendidikan Tinggi (BAPT) telah disampaikan kepada Nadhrah Iman Thasneem binti Abdul Qayyuum, bakal pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM), bagi membantu persediaan awal sebelum memulakan pengajian.

Turut disampaikan ialah Bantuan Care4U kepada Anis Batrisyia binti Rosli, pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM), sebagai tanda keprihatinan YPS terhadap kebajikan pelajar yang memerlukan sokongan dalam meneruskan pengajian.

Program Ziarah Kasih merupakan antara inisiatif YPS dalam mendekati pelajar dan keluarga secara langsung bagi memastikan bantuan yang disalurkan memberi impak bermakna kepada penerima. Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan YPS untuk memastikan tiada pelajar tercicir daripada menikmati peluang pendidikan tinggi disebabkan kekangan kewangan.

YPS akan terus memperkukuh usaha memperluas akses kepada bantuan pendidikan dan kebajikan selaras dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi dalam melahirkan graduan yang cemerlang, berdaya saing dan sejahtera.

#YPSPrihatin
#MalaysiaMADANIv