Universiti Teknologi MARA (UiTM) dengan kerjasama Yayasan Perkasa Siswa telah melaksanakan Program Ziarah Kasih bagi menyantuni dan menyalurkan bantuan kepada bakal mahasiswa yang menghadapi kekangan kewangan menjelang sesi pendaftaran September 2026.

Program yang diketuai oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM, Profesor Dr Mohd Sazili Shahibi bersama Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Perkasa Siswa, Encik Hirman bin Awang itu melibatkan lawatan ke beberapa kediaman bakal pelajar di sekitar Lembah Klang bagi meninjau keperluan serta cabaran yang dihadapi keluarga mereka.

Inisiatif ini bertujuan memastikan tiada pelajar tercicir daripada melanjutkan pengajian ke institusi pendidikan tinggi akibat faktor kewangan dan sosioekonomi. Selain bantuan kewangan, program turut memberi sokongan moral serta keyakinan kepada pelajar dan keluarga dalam membuat persediaan sebelum melapor diri ke kampus.

UiTM komited memperkukuh agenda kebajikan mahasiswa melalui pendekatan turun padang yang membolehkan bantuan disalurkan secara lebih bersasar dan berimpak. Kerjasama strategik bersama Yayasan Perkasa Siswa juga akan diteruskan bagi memperluaskan akses pendidikan tinggi kepada golongan yang memerlukan.

Program Ziarah Kasih dijangka diperluaskan ke seluruh kampus UiTM di negara ini sebagai usaha berterusan dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan mahasiswa sentiasa menjadi keutamaan.

#YPSPrihatin
#MalaysiaMADANI