ZIARAH KASIH YPS-USM: MENYEMAI HARAPAN, MENYANTUNI MAHASISWA

PASIR MAS & KUALA KRAI, 31 Ogos 2026 – Keprihatinan terhadap kebajikan mahasiswa terus diperkasa menerusi Program Ziarah Kasih Yayasan Perkasa Siswa (YPS) bersama Universiti Sains Malaysia (USM) yang menziarahi dua pelajar baharu USM di Pasir Mas dan Kuala Krai.

Kunjungan ke kediaman Rashid Ikbar Khan bin Khan Zada di Kampung Jiah, Pasir Mas serta Amiratul Amirah binti Azam di Kampung Laloh, Kuala Krai merupakan sebahagian daripada usaha berterusan dalam mengenal pasti dan menyantuni mahasiswa yang memerlukan sokongan ketika melangkah ke alam pengajian tinggi.

Kedua-dua pelajar yang merupakan pelajar cemerlang STPM dan Calon Biasiswa Sulung USM turut menerima Bantuan Awal Pendidikan Tinggi (BAPT) daripada YPS serta Kit Pendaftaran Pelajar Baharu daripada USM sebagai sokongan awal bagi membantu memenuhi keperluan sepanjang tempoh pendaftaran dan permulaan pengajian.

Inisiatif ini memperlihatkan kesungguhan Yayasan Perkasa Siswa dan institusi pendidikan tinggi dalam memperkukuh jaringan kebajikan mahasiswa, agar faktor sosioekonomi tidak menjadi penghalang kepada anak-anak Malaysia untuk mengejar cita-cita dan mencapai potensi mereka.

Sesi ziarah turut dihadiri oleh Encik Zulkifli Che Hussin, Pengurus Kolaborasi & Strategik Yayasan Perkasa Siswa, Encik Khairul Ithma Mahdi, Ketua Penolong Pendaftar BHEPA Kampus Kesihatan USM, serta Encik Ahmad Nazrul Alif Yahya, Penolong Pendaftar, Pejabat Pengarah Kampus Kesihatan USM.

Kerana setiap langkah menuju menara gading wajar disambut dengan sokongan dan harapan.

#YPSPrihatin
#MalaysiaMADANI