TINDAKAN PANTAS TIGA PELAJAR POLITEKNIK SELAMATKAN KANAK-KANAK YANG HAMPIR LEMAS DI PULAU PERHENTIAN
Pada 30 Julai 2024, telah diadakan sesi pemberian insentif khas sebagai penghargaan oleh YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi Merangkap Pengerusi Yayasan Perkasa Siswa kepada tiga (3) orang pelajar politeknik atas nilai-nilai kemanusiaan dan keberanian yang luar biasa yang ditunjukkan. Turut sama hadir ke majlis tersebut YBhg. Dato’ Dr. Haji Mohd Zahari Bin Ismail Ketua Pengarah, JPPKK merangkap Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Perkasa Siswa dan En. Hirman Bin Awang, Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Perkasa Siswa.
Tiga (3) orang pelajar politeknik telah menyelamatkan dua kanak-kanak yang hampir lemas ketika mandi di Pulau Perhentian, Terengganu pada 6 Julai 2024. Pelajar tersebut Ahmad Danial Safwan Ahmad Safri dari Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), Naufal Zahari dari Politeknik Sandakan Sabah (PSS) dan Mohamad Haikal Danis Mohamad Nasir dari Politeknik Seberang Perai (PSP).
Pengerusi dan seluruh Ahli Pemegang Amanah serta warga Yayasan Perkasa Siswa percaya pengiktirafan ini bukan sahaja akan memberi motivasi kepada mereka tetapi juga akan menggalakkan nilai-nilai kemanusiaan dan keberanian di kalangan pelajar yang lain.