SUMBANGAN PERANTI PROGRAM ZIARAH MADANI KPT@SEPANGGAR, BANTU PELAJAR FOKUS PENGAJIAN
9 November 2024 | Kota Kinabalu, Sabah
Keprihatinan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam membantu pelajar kurang berkemampuan diteruskan melalui Program Ziarah MADANI KPT@Sepanggar yang dilaksanakan pada 9 November yang lalu, dengan matlamat memastikan pelajar B40 tidak tercicir dalam proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP).
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud yang juga Ahli Parlimen Sepanggar hadir menyampaikan bantuan peranti berbentuk komputer riba serta kotak makanan kepada pelajar memerlukan dengan fokus utama memastikan akses pendidikan lebih baik.
Inisiatif ini dijayakan menerusi Yayasan Perkasa Siswa (YPS), sebuah yayasan di bawah KPT yang ditubuhkan sejak 2021 untuk menyantuni kebajikan pelajar.
Menurut YB Datuk Ts. Mustapha, program kali ini melibatkan pelajar-pelajar dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kota Kinabalu dan Politeknik Kota Kinabalu.
Kesemua mereka turut melahirkan rasa syukur kerana bantuan tersebut membolehkan mereka mengikuti pengajian dengan lebih baik tanpa gangguan.
YPS, selain memberikan bantuan peranti, turut menyediakan sumbangan tunai RM1,000 bagi pelajar B40 yang menghadapi kesulitan membayar yuran pendaftaran.
Usaha ini jelas menunjukkan keprihatinan KPT dan YPS dalam memastikan tiada pelajar ketinggalan, sekaligus memperkukuh agenda Kerajaan MADANI dalam membina masyarakat yang berdaya saing dan inklusif melalui pendidikan. Program ini turut disertai oleh Cik Idura Yaakop mewakili Yayasan Perkasa Siswa.