SEMOGA SINAR NUR SHAZATUL NADHIRAH KEMBALI CERAH
Sesi penyerahan Bantuan Khas OKU kepada Saudari Nur Shazatul Nadhirah binti Mohd Shuhaidi telah berlangsung pada 1 Julai 2024 yang lepas.
Saudari Nur Shazatul Nadhirah merupakan seorang mahasiswa yang sedang melanjutkan pengajian dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan memerlukan pembiayaan kos pembelian kanta elektronik khas bagi membolehkan sesi pengajian dan pembelajaran beliau berjalan lancar. Beliau yang juga merupakan OKU kategori cacat penglihatan (penglihatan terhad) sejak kecil, tidak pernah menjadikan kekurangannya sebagai satu penghalang buat beliau mencapai cita-cita yang diimpikan.
Justeru, pihak Yayasan Perkasa Siswa, Kementerian Pendidikan Tinggi diwakili oleh YBrs. Tuan Ahmad Rizal bin Adnan, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Pengurusan Governan dan Pembangunan) JPT dan En. Hirman bin Awang selaku Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Perkasa Siswa diiringi YBhg. Prof. Dato’ Dr. Md Amin bin Md Taff (Naib Canselor UPSI) hadir menyerahkan sumbangan Bantuan OKU (Care4OKU) kepada Saudari Nur Shazatul Nadhirah sebagai tanda prihatin.
Pengerusi dan seluruh Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Perkasa Siswa serta warga Yayasan mendoakan semoga bantuan ini sedikit sebanyak dapat membantu Saudari Nur Shazatul Nadhirah terus bersemangat dalam meneruskan pengajian seterusnya memperoleh kecemerlangan.