SASAR KPT, INISIATIF BARU KEMENTERIAN MEMPERKASAKAN MAHASISWA
24 November 2024 | Lumut, Perak
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir telah melancarkan Program Siswa Aspirasi Rakyat Kementerian Pendidikan Tinggi (SASAR KPT) bersempena program In Person with Doc Zam@Lumut.
Majlis yang berlangsung di sini petang semalam telah dihadiri kira-kira 1,000 pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) awam dan swasta dari seluruh negara.
Inisiatif ini memperkenalkan tiga (3) domain berimpak tinggi iaitu; University-Community Social Enterprise (UCSE), Bakti MADANI dan Inspirasi Varsiti.
1. Program University-Community Social Enterprise (UCSE) – Mendorong mahasiswa menjalankan perniagaan sosial yang tidak hanya berorientasikan keuntungan, tetapi juga memberikan impak positif kepada masyarakat dengan penyertaan 32 IPT, 53 pasukan dan lokaliti serta 424 orang pelajar.
2. Program Bakti Madani – Mahasiswa melibatkan diri dalam program khidmat bakti siswa-komuniti yang akan melibatkan 20 Universiti Awam (UA), 1,600 orang pelajar, serta 3200 ahli komuniti serata negara.
3. Program Inspirasi Varsiti– Membuka peluang kepada pelajar sekolah menengah untuk merasai pengalaman alam universiti, khususnya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) yang akan melibatkan 20 UA, 100 buah sekolah, serta 2,000 orang pelajar.
Mengangkat tema “Pemerkasaan Mahasiswa Ke Arah Pembangunan Komuniti”, inisiatif ini dilaksanakan secara bersasar ke arah pemberdayaan rakyat sekali gus melahirkan siswa yang mampu menguasai intelek manusiawi berwatak glokal dalam menjuarai isu rakyat.