ZIARAH KASIH YAYASAN PERKASA SISWA SANTUNI TIGA BAKAL MAHASISWA UPSI
IPOH – Yayasan Perkasa Siswa (YPS) meneruskan komitmen dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan mahasiswa sentiasa diberi perhatian menerusi pelaksanaan Sesi Ziarah Kasih bagi menyantuni tiga bakal mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang berdepan kekangan kewangan.
Sesi berkenaan melibatkan Lovely Sabana Augustine, bakal pelajar Fakulti Sains Kemanusiaan; Siti Nurdianis Nordin, bakal pelajar Fakulti Pengurusan dan Ekonomi; serta Muhamad Ilias Danish, bakal pelajar Fakulti Bahasa dan Komunikasi.
Ketiga-tiga bakal mahasiswa berkenaan menerima sumbangan RM1,000 daripada YPS bagi membantu meringankan beban kewangan, khususnya dalam membuat persediaan awal pengajian serta keperluan pendaftaran bagi sesi akademik 2026/2027.
Lovely Sabana, anak bongsu daripada empat beradik, menetap bersama ibunya di Tumpat, Kelantan. Ibunya bekerja sebagai tukang cuci di sebuah sekolah dengan pendapatan sekitar RM800 sebulan selain terlibat sebagai anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), manakala bapanya yang merupakan bekas anggota tentera telah meninggal dunia pada 2017.
Siti Nurdianis pula dibesarkan dalam keluarga berpendapatan tidak menentu dengan ibunya bergantung kepada pendapatan harian bagi menampung keperluan keluarga. Sementara itu, Muhamad Ilias Danish kehilangan tempat bergantung selepas kematian bapanya dan kini turut membantu ibunya dalam menyara keluarga.
Sumbangan ini diharap dapat meringankan beban ketiga-tiga bakal mahasiswa berkenaan, di samping menyuntik semangat untuk mereka terus melangkah ke alam pengajian tinggi dengan penuh keyakinan.
YPS akan terus memperkukuh peranan sebagai “tentera barisan hadapan” dalam menjaga kebajikan mahasiswa melalui pendekatan turun padang dan intervensi secara langsung, khususnya kepada pelajar yang berdepan cabaran kewangan dan memerlukan sokongan.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan YPS dalam memastikan tiada mahasiswa tercicir daripada peluang mendapatkan pendidikan tinggi hanya disebabkan kekangan kewangan, selaras dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi untuk memperkukuh kesejahteraan dan akses pendidikan tinggi yang inklusif.
#YPSPrihatin
#MalaysiaMADANI