7 Jun 2026 | Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL)

Sepanjang penganjuran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026, Pavilion Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM) bukan sahaja menjadi pusat jualan naskhah ilmiah, malah berkembang sebagai ruang percambahan idea menerusi penganjuran bicarawara Republik Merah MAPIM dan program Telaah KPT yang menghimpunkan tokoh masyarakat, penyelidik, penulis serta ilmuwan.

Istimewanya, program Telaah KPT yang berlangsung semalam menyaksikan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir berkongsi lima (5) karya pilihan yang membentuk perspektif beliau terhadap pendidikan, kepimpinan, hubungan antarabangsa dan pembangunan insan.

Dalam sesi tersebut, beliau memulakan kupasan dengan buku ‘The Real World of College: What Higher Education Is and What It Can Be’ karya Wendy Fischman dan Howard Gardner yang membincangkan perubahan landskap pendidikan tinggi yang semakin cenderung kepada pendekatan bersifat transaksional.

Beliau menegaskan bahawa universiti tidak boleh dilihat semata-mata sebagai institusi pengeluaran graduan, sebaliknya perlu kekal sebagai ruang pembentukan insan, pengembangan pemikiran kritis serta pembinaan nilai sosial dalam kalangan mahasiswa.

Menurut beliau lagi, cabaran pendidikan tinggi masa kini termasuk kecenderungan pelajar menilai kejayaan akademik hanya berdasarkan pencapaian gred dan kebolehpasaran semata-mata.

Seterusnya, beliau mengupas karya Risalah untuk Kaum Muslimin oleh Allahyarham Prof. Diraja Terpuji Tan Sri Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas yang menekankan hubungan antara ilmu, adab dan krisis pemikiran umat Islam moden.

Beliau menyifatkan karya tersebut sebagai antara tulisan penting yang mengangkat perbahasan tentang makna ilmu sebenar serta kepentingan adab dalam membentuk manusia yang berilmu dan berakhlak.

#YPSPrihatin
#MalaysiaMADANI